Lasykar Pelangi ini saya pinjam dari adik ipar saya sewaktu cuti musim panas yang lalu. Setelah mendapati begitu banyak komentar yang positif tentangnya melalui laman web goodreads, maka saya berkeputusan untuk membawanya pulang ke Kaherah.
Dua bulan saya bersusah payah menghabiskan novel dari negara seberang ini setelah dihimpit dengan komitmen dalam pelajaran yang begitu menyesakkan. Nah, itu semua hanya alasan. Kalau betul-betul ada disiplin, setengah jam sehari membaca buku selain medik pun dah banyak boleh dapat sebenarnya :)
Kegigihan dan kecintaan yang sangat tinggi dalam menuntut ilmu. Itu yang saya pelajari dari Lasykar Pelangi.
Lasykar atau Laskar itu maksudnya pasukan atau tentera dalam bahasa Indonesia. Manakala Lasykar Pelangi ini adalah nama gelaran yang diberikan kepada mereka. Sekumpulan anak-anak pelangi dengan masing-masing datang dari latarbelakang keluarga yang berbeza. Berbeza dari segi ujian hidupnya.
Mengisahkan sekawan atau sekumpulan budak-budak kampung di Pulau Belitong yang begitu gigih menuntut ilmu. Di awal-awal bab lagi sudah terharu apabila Sekolah agama Muhammadiyah hanya boleh dibuka dan dibenarkan untuk terus 'hidup' jika dihadiri seramai sepuluh orang pelajar pada hari pertama persekolahan.
Selain Ikal sebagai narator, saya begitu terkesan dengan watak Lintang, seorang anak kecil dari pesisir pantai , yang berbasikal serta berkaki ayam setiap hari demi menghadiri satu hari yang paling bermakna dalam hidupnya iaitu hari di sekolah, hari untuk dihabiskan bersama teman-temannya.
Ilmu bagi Lintang adalah segala-galanya. Lintang juga digambarkan oleh penulis sebagai manusia paling genius dalam sepanjang hidupnya. Keluarga miskin, adik-beradik yang ramai, ayah hanya sebagai nelayan, namun Lintang adalah seorang yang sentiasa optimis dalam apa jua.
Membaca sambil cuba membayangkan kehidupan Lintang membuatkan saya insaf dan bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang. Hidup saya dan Lintang adalah seperti langit dan bumi yang jauh lebih senang dan selesa.
Juga malu amat dengan kecintaan Lintang sebegitu rupa terhadap ilmu yang baru diterokainya setiap hari. Sepatutnya saya lebih teruja dengan ilmu yang diperoleh setiap hari. Kerana ilmu yang sedang dituntut ini adalah ilmu perihal manusia. Manusia yang sebaik-baik kejadian.
Begitu juga dengan sembilan watak utama lain seperti Mahar, Ah Kiong, Sahara, Harun dan yang lain telah mewarnakan 'dunia' saya dengan gelak tawa dan sering membuat saya senyum sampai ke telinga.
Tidak lupa juga Pak Harfan dan Bu Mus. Mereka adalah para pejuang yang sebenar dalam mendidik anak bangsa mereka sehingga ke menara gading. Setiap hari mereka tidak putus-putus meniupkan semangat kepada anak-anak kampung ini agar tidak mudah berputus asa walaupun mereka semua ratanya berasal dari keluarga yang miskin, yang sering disindir dan diketawakan.
Penulis Andrea Hirata benar-benar telah memaknakan salah satu bingkai kehidupan kisah-kisah lampau hidup beliau. Saya pasti kisah-kisah di dalam Lasykar Pelangi ini adalah kisah-kisah benar yang berlaku dalam hidup beliau.
Lasykar Pelangi adalah buku terakhir yang dibaca oleh saya pada tahun lepas. Kiranya, ia adalah penutup yang terindah buat saya di tahun 2011.
Oleh kerana Lasykar Pelangi begitu menghiburkan, sarat dengan pelajaran dan telah membuktikan the magic of childhood memories , nah saya hadiahkan empat bintang!
p.s: Saya belum sempat untuk menonton filem Laskar Pelangi. Tapi bagi saya, membaca novel atau buku itu lebih puas dan berbaloi berbanding menonton filemnya.
0 comments:
Post a Comment