Tuesday, October 4, 2011

I Was Jane Austen's Best Friend


Assalamualaikum


Selepas seminggu tertekan sebab terlupa nak bawak balik sekoleksi buku-buku bacaan dari Malaysia yang terpilih daripada ratusan buku di perpustakaan mini rumah, akhirnya Jumaat lepas saya berjaya kembali menjejak kaki ke Reader's - satu-satunya toko buku terbesar di Amman yang sangat convenient macam di Malaysia (tersusun, ada sofa, ada meja dan macam-macam lagi ada)

Pertama kali terpandang buku ini, hati terdetik macam menarik! Ah, tapi mungkin ia terlampau agak pantas  untuk ditimbang, semua gara-gara saya memang adalah peminat setia Jane Austen - penulis terkenal buku-buku klasik karya Inggeris lama. Hasil tulisannya yang lain seperti Pride and Prejudice dan Sense and Sensibility misalnya semua sudah saya khatamkan sejak di bangku sekolah.

Menariknya, kali ini saya dihidangkan dengan kisah Jane Austen itu sendiri. Bagaimana perwatakannya, kehidupannya dan manusia-manusia yang ada di sekelilingnya. Sudah tentu sebagai peminat penulis ini, saya tertarik untuk mengetahui sendiri bagaimana penulis ini membesar dan tumbuh menjadi seorang penulis wanita yang sangat disegani. Tambahan, penulis buku ini menulis berkisarkan sejarah Jane Austen yang dikaji terlebih dahulu dan diolah sedikit sebanyak supaya lebih menarik tanpa lari jauh dari peristiwa yang sebenar.

Berkenaan isinya, buku ini berkonsepkan sebuah journal/ diari rahsia milik sepupu Jane Austen iaitu Jenny Cooper yang tinggal bersama keluarga Jane selepas hampir-hampir bertemu ajal kerana jatuh sakit di sekolah berasrama yang terlampau teruk pentadbirannya. Persahabatan mereka yang sangat rapat jelas diceritakan di sepanjang perjalanan buku ini di mana mereka sama-sama berkongsi rasa dan perasaan dalam mengharungi hidup sebagai gadis remaja di zaman mereka dahulu.

Sebagaimana comelnya buku-buku Jane Austen, rupanya begitu juga personaliti yang dipunyai oleh Jane Austen sendiri. Berbeza dengan kebanyakan gadis zaman itu yang agak pemalu dan penuh tatasusila kewanitaan yang amat terjaga termasuklah Jenny, Jane Austen membesar sebagai gadis lasak yang bijak serta berimaginasi tinggi. Ini dapat dilihat dengan kedegilannya untuk terus menulis setiap kali mendapat inspirasi dari kejadian yang berlaku di sekelilingnya. Bukan setakat itu, malahan imaginasinya yang tinggi membuatkan dia berjaya mengolah sesebuah cerita menjadi sangat menarik dan sering menceriakan ramai orang di sekelilingnya dengan penceritaan yang lucu dan kadang-kala merapu.

Melalui buku ini juga , saya baru tahu banyak adab-adab dan perilaku sopan yang wajib dipelajari oleh anak-anak gadis Inggeris lama yang mana semuanya bertujuan untuk menjadikan mereka seorang wanita yang berketrampilan dan sesuai untuk dijadikan calon isteri. Cukup lemah-lembut dan berbudi - jauh tersasar dari perilaku masyarakat mereka sendiri di zaman ini. Mereka sangat terjaga, sangat pemalu, sopan dan penuh lagi ciri-ciri seperti perempuan melayu terakhir. Bagus kan orang-orang zaman lama?

Terlalu banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan mereka. Dan semuanya inilah yang akhirnya menghasilkan satu memori manis yang sangat bermakna untuk diingati kembali setelah kita sampai di penghujung muka surat buku ini. Ya lah, kan namanya pun diari. Memang itulah tujuannya.. Untuk kembali diingati dan direnungi di kemudian hari.....

Pendek kata, buku ini memang menarik. Kisahnya bagus dan sekaligus saya juga mendapat gambaran siapa sebenarnya penulis kegemaran saya ini di balik tabir. Walaupun penceritaannya ada iras-iras gaya Jane Austen sendiri dengan perwatakan watak yang hampir serupa konsepnya, tapi ia masih boleh menghiburkan. Bacaan ringan yang tidak memerlukan masa yang agak lama untuk dihadam. Juga seronok untuk dibaca sebab huruf dia besar jadi taklah sakit mata! =) Malah, beberapa lakaran yang turut sama dilakarkan sangat membantu untuk lebih memahami dan mewujudkan ilustrasi watak di dalam kepala.

Kesimpulannya.....

overall : 4/5

0 comments:

 

Template by Blogger Candy