Wednesday, October 5, 2011

Saksikanlah...


Sambil-sambil menunggu pak cik juruelektrik dan tuan rumah selesai membaiki elektrik rumah kami, adalah baiknya juga untuk saya menaip serba sedikit di sini. Kurang selesa untuk mengulangkaji pelajaran medik di saat ada orang luar di rumah kita (walaupun rumah ini memang kepunyaan tuan rumah pun. hu hu)

Akhirnya, saya berjaya menghabiskan lembaran terakhir buku ini. Dibeli di sebuah gerai buku sewaktu menghadiri sebuah konvensyen di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia pada awal bulan Ogos yang lalu.
Lembap sedikit dalam usaha menghabiskannya. Ditambah pula buku ini tidak dibenarkan oleh suami untuk dibawa ke Mekah untuk menumpukan fokus dalam beribadah di sana. Maka, sudah ketinggalan hampir 2 minggu di situ . Dan setelah 'berhempas-pulas' serta diselang selikan dengan berbagai-bagai tuntutan dunia yang begitu menyesakkan, akhirnya saya sampai ke garisan penamatnya.

Sewaktu berada di pertengahan bacaan, terasa tidak sabar-sabar untuk menanti bagaimana penulis Akh Salim A.Fillah ini menutup tirai karya dari hatinya ini. Ala-ala macam tak sabar nak tunggu bagaimana 'ending' cerita fiction pula. Terang tang tang, bahawa buku ini bukanlah seperti buku-buku cerita apatah lagi novel-novel. Cuma yang cukup membuatkan ianya begitu istimewa dan dekat dengan hati saya adalah, penerapan kisah-kisah sirah Nabawiyah yang agung itu, kisah sejarah masa lampau,serta
berbagai-bagai lagi cerita yang begitu menginsafkan dan menyedarkan diri agar senantiasa muhasabah.

Di antara tajuk di dalamnya yang begitu melekat di dalam hati saya sudah tentu Warna Ilahi, Dua bendera (yang mengisahkan tentang pengorbanan golongan Muhajirin dan Ansar) serta Khilafah di bahagian akhirnya. Cukup menyentuh perasaan dan membuatkan saya akan terus mengingatinya, sampai bila-bila.

Buku ini juga telah sedikit sebanyak mendekatkan saya kepada Al Furqan yang mulia, serta As Sunnah yang telah ditinggalkan kepada kita, sebagai ikutan. Masakan tidak, ketika membacanya, seringkali ia berkehendakkan saya agar sentiasa merujuk kembali kepada ayat-ayat Al-Qur'an yang begitu memberi kesan kepada jiwa. Benarlah ketenangan itu datang dari Allah, Yang Maha Kaya.

Dapatkan buku ini di toko-toko buku yang berhampiran anda. Kerana memilikinya bagi saya adalah berbaloi.

Sudah tentu tempat yang wajib ada menjualnya adalah Pustaka Fajar Ilmu Baru di Wisma Yakin, Jalan Masjid India.

Akhir kata
4.5/5

==================

Selamat datang Ainul. Terima kasih kerana sudi berkongsi hati awak di tempat baru saya ini.
Saya rasa saya perlu sediakan entry selamat datang yang lain untuk awak nanti.. Dan selamat bertahun lima untuk kita berdua :)

2 comments:

tepianmuara said...

nak nak nak buku ni.

fuhh. moga2 nanti balik malaysia boleh beli.

NIA WIRDAH said...

Tengok tajuknya pun akak dah mula jatuh cinta <3...Tak sabar nak beli,mungkin pas ni akak jadi fan of Salim A.Fillah,tengok la nanti...hehe

 

Template by Blogger Candy